Showing posts with label Isu ilmu-ilmu Islam. Show all posts
Showing posts with label Isu ilmu-ilmu Islam. Show all posts

Saturday, October 3, 2009

Hikmah Disebalik 5 jari.


Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam>Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.

Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil>seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya>Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda??

Nah...naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya>Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk>Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini.Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari>Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara.Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang???"

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM DAKWAH ISLAMIYYAH


Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) merupakan teknologi baru yang berkembang dengan begitu pesat dan mempunyai pengaruh yang begitu besar dalam perubahan tamadun kemanusiaan. Kehadiran teknologi ini bukan sekadar berhubung dengan perubahan yang bersifat teknikal malah ianya merubah tatacara kehidupan harian manusia. Sebenarnya jauh lebih dari itu, ia berupaya mendominasi arah pembangunan masa hadapan.Teknologi ini bukan saja membantu kecekapan dan keberkesanan kita bekerja, bahkan ia telah menjadi sumber yang strategik yang memudahkan perubahan utama dalam melakukan urusan kita seharian Teknologi ini amat terkenal khususnya dalam bidang komunikasi iaitu sebagai alat perhubungan, memproses dan menyampaikan maklumat. Secara personal, ia membantu dalam mempercepatkan dan memudahkan komunikasi dan urusan kehidupan seharian. Firman Allah Taala:

ادع الي سبيل ربك بالخكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي احسن ان ربك هو اعلم بمن ضل عن سبيله وهو اعلم بالمهيدين


(Surah An Nahl :125)

Maksudnya: “Dakwahlah(Serulah) mereka ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah(berbincanglah) dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat(menyeleweng) dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Umat Islam perlu proaktif dan memanfaatkan kehadiran teknologi untuk mengenengahkan pemikiran dan risalah Islam. Kesediaan dan kemampuan umat Islam untuk berinteraksi secara objektif dan kritikal memungkinkan teknologi ini dapat dimanfaatkan. Penguasaan ilmu teknologi dikalangan ulama’ dan penggerak dakwah perlu dilaksanakan secara bersepadu dan terarah. Ini akan mewujudkan gerakan dakwah yang dinamik yang mampu mengenengahkan Risalah Islam dalam bentuk yang sesuai dengan ketinggian Islam. Ia juga membolehkan Dakwah Islam menembusi sasaran dakwah yang sudah berubah medannya. Ia juga mengupayakan para perancang dan pelaksana dakwah mempastikan bahan yang disampaikan itu sesuai dengan kumpulan sasarannya yang berbagai-bagai dan berbeza, baik dari segi jantina, peringkat umur dan profesyen, mahupun dari segi latar belakang penguasaan ilmu Islam itu sendiri.

Program pengisian dan kesedaran ilmu Islam dikalangan pakar dan pengguna teknologi maklumat dan komunikasi perlulah dijalankan. Ini boleh bertindak sebagai pemangkin gerakan dakwah dalam era dunia dakwah digital dan berteknologi tinggi. Secara kesimpulannya, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam dakwah adalah sangat penting dan dimanfaatkan sebaik dan sebijak mungkin..........