Saturday, October 10, 2009

PENUNTUT IPT KENA BIJAK URUS BELANJA

MAHASISWA di semua institusi pengajian tinggi (IPT), rata-rata mendapat bantuan pelajaran berbentuk biasiswa atau pinjaman sama ada daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yayasan negeri, majlis agama Islam, bank dan syarikat swasta. Sejak masuk ke semester baru setiap tahun pinjaman atau biasiswa terus disalurkan kepada mahasiswa untuk pendidikan di IPT, dan kebanyakan bantuan pelajaran meningkat sehingga RM6,000 dan JPA pula meningkat sehinggaRM5,000.

Apabila wang dimasukkan ke akaun mahasiswa, banyak perancangan timbul di kepala mahasiswa iaitu membeli buku rujukan, telefon bimbit baru, komputer, aksesori motosikal dan pakaian. Daripada kebanyakan perancangan itu hanya beberapa perkara yang menjadi keperluan, yang lain adalah kehendak peribadi yang kadang-kadang melampaui batas. Apabila ditanya 50 mahasiswa di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) secara rawak sama ada menyimpan sedikit wang bantuan yang diberikan, cuma 62 peratus berbuat demikian. Amat memalukan mahasiswa yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat sepatutnya mempunyai simpanan untuk masa depan agar tidak menyusahkan orang lain.

Sesetengah mahasiswa yang dalam masa seminggu daripada tarikh menerima wang bantuan sudah habis dibelanjakan membayar hutang kawan serta membeli itu dan ini hingga dia terpaksa berhutang lagi atau terpaksa menyusahkan ibu bapa untuk mendapatkan wang tambahan. Ada yang membazir membeli rokok, ada juga sanggup pergi ke Genting Highlands untuk berhibur. Amat tidak wajar mahasiswa melakukan perkara negatif itu.

Justeru, pengurusan kewangan di kalangan mahasiswa perlu dikemaskan, yang mana keperluan diutamakan daripada kehendak, pengurusan ini amat penting untuk membentuk peribadi cemerlang pada masa depan dalam realiti masyarakat. Mahasiswa yang prihatin terhadap isu pengurusan kewangan ini perlulah peka dan sentiasa saling nasihat menasihati teman sekampus supaya berjimat cermat dan menyimpan agar menjadi mahasiswa yang bijak dalam pengurusan kewangan. Ini boleh dijadikan panduan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.....

3 comments:

  1. bagus la artikel huda...isu yang sangat penting yang kadang2 student ni lalai sehingga membebankan family pulak bila hujung sem...keep it up...

    ReplyDelete
  2. Lebih informatif jika diselitkan sekali tips pengurusan wang untuk mahasiswa. Berguna untuk dipraktikkan ketika di alam pekerjaan sekali.

    ReplyDelete
  3. Gunakanlah duit yang diberikan kepada kita dengan sebaiknya.Janganlah gunakan pada benda yang tidak baik kerana kita akan ditanya oleh Dia kelak...

    ReplyDelete